Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA TERENGGANU, 6 September- Prestasi kontinjen Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak, tempoh hari sewajarnya dijadikan suntikan untuk atlet-atlet negeri itu kembali meningkatkan prestasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, jatuh ke kedudukan kelima keseluruhan dalam temasya terbesar itu kali ini menjadi satu kekecewaan buat semua yang terlibat.
"Memang apabila jatuh kita kecewa, dalam masa sama kita anggap ia satu 'wake up call' untuk Terengganu melakukan pascanilai (post-mortem) menyeluruh dan melakukan proses untuk bangkit kembali dengan lebih serius.
"Kita tidak mahu mencipta alasan, tetapi kita mahu memperbaiki semua kelemahan-kelemahan itu dalam tempoh dua tahun bermula daripada sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran pasukan Terengganu Turtles sempena Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2024 di sini, semalam.
Tambahnya, buat masa ini proses pascanilai sedang dijalankan secara teliti melibatkan semua pihak yang menyertai SUKMA.
"Keseluruhan, belum lagi sebab kita perlu panggil satu demi satu jurulatih, pengurus pasukan untuk mendengar laporan daripada semua berkenaan acara yang dipertandingkan dan keputusan yang dicapai.
"Sebab, justifikasi kegagalan atau semua itu kita akan dengar dari semua, buat masa ini kita belum selesai keseluruhan dan ia berada di bawah tindakan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT)," katanya.