lightning-solid
Berita :
SUKMA Selangor: Skuad Bola Sepak Optimis Raih Emas
SUKMA Selangor: Skuad Bola Sepak Optimis Raih Emas
Ariss Alias
19 jam yang lepas
40

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Skuad bola sepak Terengganu optimis mampu mencapai sasaran pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, dengan semangat dan keyakinan tinggi untuk memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan. 

Skuad berkenaan hari ini berlepas ke Selangor bagi menghadapi saingan SUKMA XXII, dengan pelepasan disempurnakan Bapa Angkat Skuad Bola Sepak, Ahli Parlimen Setiu, Tuan Shaharizukirnain Abd Kadir, dalam satu majlis di Ar-Riyadah Residence, di sini. 


Dalam ucapannya, Tuan Shaharizukirnain mendoakan agar perjalanan pasukan dipermudahkan serta seluruh pemain dikurniakan kekuatan, kesihatan dan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan.

Beliau berharap skuad Terengganu dapat memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan serta berusaha bersungguh-sungguh bagi merealisasikan sasaran meraih pingat emas.

Katanya, kejayaan pasukan bukan sahaja bergantung kepada kemampuan teknikal di atas padang, malah memerlukan disiplin, kesatuan pasukan dan semangat tidak mudah berputus asa.

Beliau turut menyeru para pemain supaya membawa nama Terengganu dengan penuh maruah dan memanfaatkan peluang beraksi di pentas SUKMA untuk membuktikan kemampuan serta mengharumkan nama negeri.

Skuad Terengganu dijadual membuka kempen bola sepak SUKMA XXII dengan menentang Sabah pada 11 Ogos di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. 

"Marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan anak-anak muda kita. Semoga skuad Terengganu berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan, memberikan saingan terbaik dan membawa pulang pingat emas untuk mengharumkan nama Terengganu," katanya. 

SUKMA XXII Selangor 2026 menjadi platform penting bagi atlet muda negeri untuk mengembangkan bakat, menimba pengalaman serta mengukuhkan keupayaan dalam persaingan di peringkat kebangsaan.


Tag :

Artikel Berkaitan