• 16 Okt 2024 | 13 Rabiul Akhir 1446

SUKSEM: Atlet Kedah Kritikal, Dikejarkan ke HoSZA

KUALA NERUS, 16 Oktober - Seorang atlet ping-pong SUK Kedah dikejarkan ke Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA), selepas tidak sedarkan diri, ketika kejohanan berlangsung sebentar tadi.

Dikhabarkan pesakit, Abdul Halim Md. Daud, 54, pada awalnya mengadu tidak sedap badan ketika berehat sejurus selepas menamatkan acara bagi kategori veteran sempena Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Nerus, di sini.

Menurut Pegawai Perhubungan (liaison officer) Kontinjen SUK Kedah, Muhammad Shafiee Abdullah, mangsa kemudian meminta pasukan perubatan untuk membuat rawatan awal sebelum dihantar ke HoSZA.

"Daripada maklumat doktor, pada peringkat awal dimasukkan ke hospital jantungnya tidak berdenyut.

"Setelah beberapa prosedur dijalankan jantung berfungsi semula tetapi, beliau masih dalam keadaan kritikal.

"Beliau kini dalam pemantauan rapi doktor dan dalam proses untuk dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman.

Muhammad Shafiee turut memaklumkan, pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai insiden berkenaan serta akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Kontinjen Kedah, Dato' Dr Nadzman Mustaffa berada di HoSZA untuk mengikuti perkembangan lanjut keadaan dan proses rawatan.


Tag: