SUKSEM: Atlet Terengganu Perlu Manfaat Kelebihan Tuan Rumah

KUALA NERUS, 16 Oktober- Atlet Terengganu yang bersaing di pentas Temasya Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) perlu menggunakan segala kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mempamerkan persembahan terbaik dalam sukan dipertandingkan.

Ketua kontinjen, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, kesempatan yang ada sebagai tuan rumah perlu direbut untuk bergelar johan SUKSEM IX.

"Dari segi persediaan, auranya bermula sebelum SUKSEM lagi sebab kita telah tahu sejak dua tahun lalu kita akan jadi tuan rumah, yang mana masing-masing telah ada iltizam dalam diri untuk bersedia, dari segi tempat. Semua itu menjadi kelebihan kepada kita sebagai tuan rumah.

"Kalau kita tengok keputusan setakat hari pertama (semalam), ada beberapa acara yang kita telah dapat keputusan luar biasa sedangkan kita membariskan atlet yang sama sebagaimana dua tahun lalu dengan penambahan muka baru sekitar 10 ke 20 peratus sahaja, tetapi hasil diperolehi nampak berlainan pada saingan hari pertama.

"Mungkin itu adalah kelebihan yang dimanfaatkan atlet-atlet kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Santai YBM Setiausaha Kerajaan Terengganu bersama YB Setiausaha Kerajaan-kerajaan Negeri di Darul Syakirin, semalam.

Tambah Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan) itu saingan tahun ini dilihat lebih mencabar terutama bagi atlet tuan rumah.

"Dari segi saingan, Sarawak memang negeri yang menjadi saingan mungkin kerana ia johan sebelum ini. Tetapi saingan dari negeri lain tidak boleh dipandang mudah, semuanya hebat-hebat.

"Kepada atlet yang bertanding, jangan kita ambil mudah tetapi gunakan peluang sebenarnya dengan keadaan padang yang kita berlatih di situ, dari segi pergerakan kita yang mudah serta acara-acara pilihan juga merupakan kegemaran kita (Terengganu).

"Misalnya, acara bola tampar yang kurang memberi peluang kepada kita, ditukar kepada acara boling padang yang menjadi kekuatan kita," katanya.

 

 


Tag: