KUALA TERENGGANU, 19 Oktober- Pasukan pingpong Terengganu mencipta sejarah apabila muncul juara acara berkenaan setelah menewaskan Sabah 3-1 dalam perlawanan akhir sempena Temasya Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) yang berlangsung, semalam.
Pengurus pasukan, Mohd Hanaffi Samsudin berkata, skuad pingpong tidak pernah meraih pingat emas sepanjang penganjuran Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM).
"Alhamdulillah, pasukan kami dapat berlatih awal sekitar tiga empat bulan sebelum temasya dan usaha ini membuahkan hasil seperti yang kita mahukan. Dalam temasya sukan sebelum ini, kita sering berahadapan halangan dan kekangan untuk berlatih lebih lama, namun kali ini kita berjaya mencapai sasaran emas.
"Terima kasih kepada pengurusan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kerana membenarkan dan memberikan komitmen untuk anak buah mereka (para pemain), disebabkan kita ini bekerja bukannya bersukan sepenuh masa," katanya ketika dihubungi Sekretariat Media SUKSEM IX, hari ini.
Mewakili skuad pingpong, Hanaffi juga merakamkan ucapan takziah kepada kontinjen Kedah dan keluarga atlet pingpong, Abdul Halim Md. Daud yang meninggal dunia, baru-baru ini.
"Kita berdukacita juga kerana dalam sukan dan pertandingan, menang atau kalah jadi nombor dua. Sebenarnya, kita lebih mahu merapatkan hubungan sesama kita.
"Kita harap, semua pemain dapat mengambil iktibar selepas ini. Sekiranya berasa kurang sihat, eloklah tarik diri dan menjaga keadaan diri supaya tidak bertambah teruk," katanya.