KUALA TERENGGANU, 19 Oktober 2024 - Kelibat pasukan sorak `Briged Hanelang’ yang setia bersama para penyokong kontinjen Terengganu sempena Sukan SUK Se-Malaysia Ke-9 (SUKMA IX) bermula 15 Oktober lalu menjadi antara watak penting menyuntik kejayaan atlet tuan rumah untuk mendominasi hampir kesemua perlawanan sekali gus meraih kejuaraan pada temasya kali ini.
Kumpulan sorak yang terdiri daripada 70 pelajar dengan diiringi empat guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas, Setiu di bawah penyelarasan Jawatankuasa Jualan, Keusahawanan dan Tugas-tugas Khas yang dipengerusikan oleh Puan Maldiana Abd Patah amat ditagih dalam setiap perlawanan melibatkan atlet tuan rumah, apatah lagi perlawanan yang mara ke peringkat separuh akhir dan akhir sebagai pendorong semangat atlet.
Berbekalkan alatan 'bass' dan 'snail', pasukan ini mempersembahkan beberapa lagu rancak seperti 'Ayuh Tranung Ku', 'Akhir Hayat Ini', 'Tranung Kita Bersaudara', 'Mahu Jadi Apa,' 'Kita Bersatu Hati' dan 'Berjuang Dengan Darah' dengan penuh bertenaga sepanjang bersorak.
"Laungan sorakan dan nyanyian bertenaga mereka menyuntik semangat para atlet berjuang habis-habisan bagi memastikan sasaran bergelar sang juara tercapai," menurut jurucakap pasukan kepada Sekretariat Media SUKSEM IX, hari ini.
Pasukan sorak ini juga bukan sahaja membantu kem kontinjen SUK Terengganu, malah sudah banyak terlibat dalam kejohanan dan karnival sukan lain seperti perlawanan Piala FA Bola Sepak Terengganu, Le Tour de Langkawi, Ragbi Piala Agong dan Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia.