• 16 Okt 2024 | 13 Rabiul Akhir 1446

Sultan Mizan Labuh Tukun Pulihara Sumber Perikanan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli menyempurnakan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda di Perairan Marang, hari ini.

Dalam program yang bermula di Jeti Duyong Marina Resort, keberangkatan tiba baginda pada jam 9.00 pagi disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.

Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah ketua-ketua jabatan dan sebahagian pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Sultan Mizan (berbaju biru) melakukan selaman dasar.

Sebaik berangkat tiba, Tuanku Mizan berkenan menandatangani plak perasmian disaksikan tetamu yang hadir.

Bagi meneruskan program, Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar membacakan doa.

Sultan Mizan kemudian berkenan menaiki bot Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu yang mula bergerak ke lokasi melabuh tukun tiruan pada jam 9.15 pagi di kawasan Alur Tuman.

Sultan Mizan berkenan melakukan selaman dasar bagi menyempurnakan simbolik program dengan meletakkan plak perasmian ke dalam tukun.

Sebanyak 20 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Marang pada program ini merupakan sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan menerusi Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu bagi tahun ini.

Sebelum ini, sebanyak 20 tukun telah dilabuhkan di sekitar perairan Dungun, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dengan kos projek berjumlah RM3.1 juta.

Pada 5 Oktober lalu juga, Sultan Mizan telah berkenan menandatangani plak perasmian 'Pembangunan 500 Tukun (5 Tahun) Tiruan Garisan Sempadan Zon Persisir Pantai Perairan Terengganu'.

Melaluinya, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk mewujudkan garisan semladan tukun di sepanjang 244 kilometer pantai negeri ini.

Ia merupakan usaha jangka masa panjang bagi menangani isu kekurangan sumber dan pendapatan nelayan seterusnya meningkatkan sosioekonomi rakyat Terengganu.


Tag: