KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bersama lebih 2,000 jemaah di sini.
Turut mengiringi baginda, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Solat Sunat Aidiladha itu telah diimamkan oleh Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron yang turut menyampaikan khutbah yang bertajuk Hakikat Hamba Dalam Ibadah Korban.
Khutbah menyeru umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan sifat kesyukuran di samping mengutamakan pengagihan daging korban kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Sultan Mizan sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit bersalaman dengan jemaah.
Sebaik selesai menunaikan solat, Sultan Mizan Zainal Abidin berserta anakanda baginda kemudiannya menziarahi makam diraja yang terletak bersebelahan masjid.