Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
Sultan Terengganu Sukacita Usaha Kerajaan Tawar Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 21 Mac – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa sukacita terhadap usaha kerajaan negeri menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat.
Perkara tersebut dititah dalam titah ucapan baginda bagi Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini.
Baginda mengambil maklum usaha pihak kerajaan menyelesaikan isu pengangguran dalam fasa dunia dilanda pandemik yang mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi dunia dan negara.
“Inisiatif anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu TDM Plantation Sdn Bhd dengan menawarkan 800 peluang pekerjaan merupakan usaha yang harus dicontohi oleh pemain industri lain.
“Justeru, program seumpama ini perlu diteruskan dan ditingkatkan supaya isu pengangguran dapat diatasi dan kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan,” titah baginda.
Berdasarkan rekod semasa, jumlah pencari kerja yang telah ditawarkan pekerjaan bagi tahun 2021 adalah seramai 8,500 orang.
Titah Sultan Mizan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sewaktu sesi pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke Empat Belas yang dijadualkan bermula hari ini hingga 24 Mac.