Sultan Terengganu Titah Perkasakan Program Pupuk Akhlak Mulia Anak Muda

KUALA NERUS, 16 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar program memupuk akhlak mulia dan sahsiah terpuji kalangan anak muda di negeri ini diperkasakan.

Baginda bertitah, usaha perlu dilakukan melalui institusi pendidikan agama bagi menyediakan ruang yang mencukupi untuk pembelajaran ilmu agama yang komprehensif dan mendalam. 

"Masjid dan surau bukan sahaja dijadikan tempat beribadat tetapi juga pusat pendidikan dan pembentukan akhlak.

"Program-program seperti kelas agama, kuliah maghrib dan kem ibadah harus diperbanyakkan dan diperkuatkan.

"Sebagai contoh, Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) yang telah dilaksanakan di masjid-masjid terpilih di negeri Terengganu menjadi platform terbaik kepada rakyat untuk mengikuti pengajian agama secara berstruktur dan tersusun," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini, hari ini. 

Keberangkatan tiba baginda mencemar duli merasmikan majlis tersebut turut diiringi, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama paduka anakanda, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail. 

Terdahulu keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar Terengganu, Dato'  Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Dalam pada itu, baginda turut berharap agar program memperkasakan akhlak rakyat seperti SPAIT  dapat diperluaskan lagi dan merangkumi seluruh masjid kerajaan di  Terengganu pada masa akan datang.

"Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada kali ini juga, Beta mendoakan semoga kita semua dirahmati dan diberi taufik oleh Allah SWT.

"Semoga apa yang dilaksanakan ini akan menjadi asbab untuk kita mendapat syafaat besar Rasulullah SAW hari akhirat nanti, insya-Allah," titah baginda.

Sementara itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang perarakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul kali ini.

 


Tag: