SETIU, 24 Jun - Seekor gajah betina yang dikenali sebagai 'Suria' antara yang menjadi daya tarikan pungunjung di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu 2022 (HPPNT) yang membuka tirainya semalam.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka Hulu Terengganu, Jimmy Anak Unau berkata, 'Suria' merupakan gajah denak yang telah dilatih untuk memudahkan operasi pemindahan gajah liar yang ditangkap seluruh semenanjung.
"Lebih 60 operasi pemindahan gajah liar melibatkan 'Suria' yang berusia 22 tahun ini dan kebiasaan bergandingan dengan 'Abot' dan 'Kala'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di khemah pameran Jabatan Perhilitan.
Program yang berlangsung selama tiga hari tu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan kehadiran Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Dr. Ronald Kiandee pada semalam.
Tambahnya lagi, orang ramai boleh bergambar bersama 'Suria' dengan dipantau oleh pasukan Jabatan Perhilitan yang sentiasa berada di tapak program 24 jam.
HPPNT 2022 turut menarik perhatian pengunjung dengan pameran rangka ikan paus spesis Sei atau nama saintifiknya 'Balaenoptera Borealis' disamping diadakan pameran Jabatan dan agensi terbabit serta jualan produk makanan dan agro.