Mula memasak kimbab secara suka-suka dan untuk hidangan keluarga kini bertukar menjadi sumber pendapatan lumayan buat dua beradik di Kemaman.
Pada awalnya, Wan Nurin Nadhirah Wan Mahadi, 19, bersama kakaknya Wan Siti Nabila, 23, belajar membuat kimbab daripada kawan dan tercetus idea untuk memuat naik gambar kimbab tersebut ke laman sosial sebelum ada rakan yang memberi respon mahu mencubanya.
“Alhamdulillah saya terima pujian baik daripada pelanggan terawal dan sejak itu saya rasa bersemangat untuk teruskan menjual kimbab.
“Proses untuk membuat kimbab ini di rumah sahaja dan kami buat khidmat penghantaran ke rumah pelanggan di beberapa tempat sekitar Bandar Kemaman, Kertih, Kuantan, Selangor, Kajang, Negeri Sembilan dan Beranang yang kebiasaan kami terima tempahan awal,” katanya yang kini menetap di Taman Sri Jaya, Gong Pauh.
Nadirah |
Perkembangan itu juga turut melonjak hasil jualan mereka apabila purata pendapatan bulanan mencecah antara RM3,000 hingga RM5,000.
“Harga sushi kami pula bergantung pada tempat penghantaran dan pakej yang ditempah.
“Harga bagi pakej shushi kami RM15 hingga RM60 sahaja bergantung kepada citarasa dan kehendak pelanggan.
“Malah, untuk setiap set pembelian daripada pelanggan pula kami akan menyediakan shouyu, wasabi dan chopstick secara percuma,” katanya kepada Teganukita.
Dalam pada itu, Sushiying juga menerima tempahan daripada pelanggan tetap bagi tujuan jamuan rumah terbuka hari raya, majlis-majlis keraian dan sebagainya.
Nadhirah berkata, permintaan pelanggan terhadap produk makanannya itu amat menggalakkan terutam di kawasan Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Kota Baharu dan Kuantan.
“Jika ada peluang kami akan buka francais di luar Terengganu pula pada masa akan datang.
“Sehingga kini kami dalam perancangan untuk menambah lagi menu kimbab yang sedia ada. Malah jika ingin mengetahui perkembangan kami boleh mengakses kami di laman sesawang Facebook Sushiying dan juga Instagram @sushiying,” katanya.
Menurut Nadhirah lagi, walaupun terdapat ramai pesaing di bidang perniagaan, mereka tidak menjadikannnya sebagai batu penghalang kerana percaya rezeki Allah SWT amat luas dan hanya ikhtiar tanpa putus asa demi meningkatkan taraf hidup.