Pegawai Syariah Malaysia Sokong Terengganu Sebat Pesalah Khalwat di Masjid
'Swing Couple' Ancaman Baru Malaysia
Bual bicara beri pendedahan kepada masyarakat. |
DUNGUN, 11 November - Hari ini, masyarakat bukan sahaja dihidangkan masalah Lesbian, Biseksual, Gender, Trangender (LGBT), bahkan terbaru masalah 'Swing Couple' iaitu bertukar pasangan.
Menurut Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita, Khairiah Mokti, perkara itu tidak mustahil akan menjadi satu ancaman di Malaysia kerana ia telah berlaku, cuma kurang disedari ramai.
"Seumpama LGBT, dulu hanya kita dengar sayup-sayup, sekarang semakin jelas kedengaran.
"'Swing Couple' adalah di mana perbuatan bertukar pasangan, di antara suami isteri dengan suami dan isteri orang lain.
"Perbuatan itu didakwa (dikatakan) mampu menyelamatkan rumah tangga, supaya tiada rasa jemu dengan pasangan sendiri yang mengakibatkan penceraian dan pertelingkahan.
"Perkara itu ternyata bercanggah dengan ajaran Islam dan menzahirkan bahawa masyarakat kita sedang sakit dan nazak," katanya ketika berucap pada Program Bicara Ad-Din anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Wanita, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), baru-baru ini.
Rakyat perlu peka gejala sosial yang melanda. |
"Kecelaruan ini merupakan penyakit dalam jiwa dan turut dipengaruhi syaitan. Sebahagiannya diyakini boleh diubati dengan cara ruqyah iaitu perubatan Islam.
"Manakala pencegahan awal perlu diterapkan kepada anak-anak kecil terutama impak gajet yang semakin membimbangkan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan amat penting mengawal penggunaan gajet anak-anak ekoran dunia pada masa kini membolehkan segala perkara dapat diakses dengan mudah.
Khairiah turut mengingatkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bahawa 300,000 gay tidak terlibat dengan perlakuan songsang sangat mengelirukan dan berharap masyarakat tidak terpengaruh dengannya.
"Kalau sudah (dikatakan) gay, maka gay lah," tegasnya.
Turut hadir, Pengerusi MPKK Kampung Taman Mulia, Zakiah Alias yang menyatakan program tersebut sangat memberi manfaat.
"Ilmu yang bermanfaat perlu diaplikasikan dalam kehidupan untuk berdepan dunia hari ini yang begitu mencabar," ujarnya.