KUALA TERENGGANU,30 Oktober - Syarikat korporat dan perniagaan di negeri ini diingatkan agar menunaikan zakat melalui Majlis Agama dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.
Yang Dipertua MAIDAM Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ia bagi membolehkan jumlah kutipan tersebut diagihkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.
Katanya, kebanyakan pemilik syarikat terbabit tidak menyerahkan zakat terus kepada agensi kerajaan negeri itu sebaliknya menyalurkan sendiri bantuan tersebut menerusi Program Tanggungjawab Sosial (CSR).
"Kita sedang berurusan dengan syarikat-syarikat yang belum lagi mengeluarkan zakatnya, dan untuk makluman pendapatan zakat tertinggi selama ini adalah daripada zakat gaji ataupun zakat pendapatan individu dengan perolehan sebanyak RM75 juta manakala perniagaan RM35 juta.
"Bagi saya pegawai kerajaan ataupun beberapa individu sedar mengenai zakat, cuma ahli perniagaan saya melihat secara 'random' tidak mengeluarkan zakat kerana telah dibahagikan secara sendiri di kampung-kampung dengan niat itu zakatnya, apa yang saya maksudkan di sini tidak sampai kepada MAIDAM.
"Tetapi bagi kita kalau ikut fatwa Mufti Terengganu, jika tidak dikeluarkan kepada amil ia tidak dipanggil sebagai zakat, kerana kita (MAIDAM) akan uruskan harta zakat itu supaya sampai kepada golongan yang berhak,"katanya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita selepas menerima penyerahan wang zakat perniagaan di Duyong Marina & Resort berjumlah RM42, 159.65 kepada MAIDAM, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, katanya, jumlah kutipan zakat di Terengganu setakat ini RM157 juta dan menyasarkan untuk mencapai RM240 juta sebelum berakhir tahun ini.
"Insya-Allah mudah-mudahan kita dapat mencapai target peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tahun lepas dan berhasrat hendak membelanjakan dengan sepenuhnya, alhamdulillah pada tahun ini kita telah membelanjakan RM162 juta,"ujarnya.
Katanya dengan agihan tepat kepada MAIDAM bantuan akan dapat diagihkan sepenuhnya kepada golongan yang memerlukan berdasarkan data yang dimiliki.
"Mengikut data jumlah mereka (asnaf) yang melebihi usia 40 tahun adalah seramai 2,000 orang, mereka mendapat bantuan kewangan bulanan manakala yang miskin daripada golongan muda tidak diberikan bantuan kewangan bulanan sebaliknya diberikan bantuan galakan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.
"Dengan diberikan alatan seperti mesin pemotong rumput, atau yang minat berniaga diberikan gerai menjalankan perniagaan,"katanya.