KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Isu pematuhan pemakaian pengendali makanan dikenalpasti menjadi antara tiga kesalahan utama hasil pemeriksaan lebih 3,000 tapak Bazar Ramadan di seluruh Terengganu setakat ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam satu kenyataan media memaklumkan, sehingga 5 Mac lalu sebanyak 3,287 tapak bazar Ramadan telah diperiksa oleh pasukan penguat kuasa yang ditugaskan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
JKNT berkata, daripada keseluruhan notis yang dikeluarkan, kesalahan paling kerap direkodkan melibatkan kegagalan pengendali makanan mematuhi pemakaian apron, tidak menghadiri latihan pengendali makanan serta aspek kebersihan diri yang tidak memuaskan.
"JKNT telah membentuk sebanyak 103 pasukan yang terdiri daripada 390 orang anggota bagi menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas bazar-bazar sepanjang Ramadan 1447H/ 2026.
"Sehingga 5 Mac 2026, sebanyak 3,287 tapak Bazar Ramadan telah diperiksa dan daripada keseluruhan notis yang dikeluarkan, tiga kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah melibatkan isu pematuhan pakaian pengendali makanan (apron), kegagalan menghadiri latihan pengendali makanan, serta isu kebersihan diri pengendali makanan," menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa pemeriksaan juga akan terus dijalankan di pasar raya, kedai runcit dan lain-lain pembekal bahan mentah selain daripada Bazar Ramadan.
JKNT turut mengambil sebanyak 72 sampel makanan secara rawak untuk tujuan analisis bagi memastikan makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 serta peraturan berkaitan keselamatan makanan.
"Selain itu, sebanyak 72 sampel makanan yang dirancang telah diambil secara rawak dan antara menu yang terlibat ialah ayam masak merah, kerabu kerang, sayur lemak, gulai daging dan nasi goreng," jelas kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, JKNT mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan konsep 'Perhati dan Pilih' sebelum membeli makanan di bazar Ramadan dengan menilai tahap kebersihan premis serta amalan pengendali makanan bagi mengelakkan risiko keracunan makanan.
Susulan itu jelas JKNT, orang ramai boleh menyalurkan maklum balas atau aduan berkaitan tahap kebersihan premis melalui kod QR yang dipaparkan di bazar Ramadan atau melalui Portal Aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kod QR turut diwujudkan bagi tujuan mendapatkan maklum balas atau pelaporan berhubung tahap kebersihan premis sepanjang bulan Ramadan.
"Orang ramai boleh mengimbas kod QR tersebut yang dipaparkan pada bunting atau banner di Bazar Ramadan, atau mengemukakan aduan melalui Portal Aduan SisPAA KKM di http://moh.spab.gov.my," kata JKNT.