• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Taman Permint Perdana Juara Piala YB Adun Seberang Takir

KUALA NERUS, 9 Julai - Pasukan Taman Permint Perdana (Miami FC) mewakili Cawangan Taman Permint Perdana muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak.

Dalam aksi akhir itu, TPP (Miami FC) menewaskan Taman Perumahan Telaga Daing dengan jaringan 2-0.

​​​Selaku juara, TPP (Miami FC) membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000 dan piala serta medal.

Salah seorang pemain TPP, Muhammad Taufiq, 27, berkata, momentum beberapa siri perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan sebelum kejohanan bolah dijadikan asbab keserasian pemain.

“Bulan lepas pasukan telah menyertai kejohanan Bolasepak Belia 9 Sebelah dan berjaya sampai ke peringkat suku akhir. Dari situ kita lihat kekurangan dan segera memperkemaskan pasukan.

"Alhamdulillah, memang tak sangka menjadi juara, kita sasarkan kita boleh ke suku akhir sahaja tapi semangat juang semua pemain berjaya ke akhir.

"Persiapan ke kejohanan parlimen akan datang insya-Allah kita akan meneruskan latihan seperti biasa juga kita akan sasarkan ke suku akhir," ujarnya.

Katanya, beliau sangat berpuas hati sepanjang perlawanan dan memuji kelancaran penganjuran. 

“Perlawanan kedua-dua pasukan sangat baik, tidak ada kontroversi dan semua menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat yang ditemui selepas perlawanan merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan TPP (Miami FC) yang menjuarai kejohanan pada kali ini.

“Tahniah kepada pasukan TPP (Miami FC) yang telah menjadi juara Piala ADUN Seberang Takir, Insya-Allah pasukan ini bersama tiga pasukan terbaik lain akan mewakili Seberang Takir ke peringkat Daerah Kuala Nerus," katanya.

 


Tag: