• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Tanah Runtuh Di Penempatan Tiong Hua Diberi Perhatian

KUALA NERUS, 12 Disember - Kejadian tanah runtuh di Kampung Pulai Baharu yang menjadi penempatan kaum Tiong Hua membabitkan 65 keluarga diberi perhatian oleh ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kali ketiga dan pada kali ini runtuhannya agak ketara hingga memerlukan tindakan segera.

"Kita akan buat secara 'internal' sahaja bagi membantu tuan rumah, Mr Yeo Teo Folek yang sedikit terjejas, buat masa ini dengan cuaca yang tidak menentu kita tangguhkan dahulu.

"Apabila cuaca baik kita akan memulakan proses pembersihan tanah-tanah yang runtuh.

"Insya-Allah kita jangkakan dalam tempoh beberapa hari ia akan dapat diselesaikan,"ujarnya ketika ditemui pihak media ketika meninjau kawasan yang terjadi runtuhan tanah itu, di kediaman Mr Yeo Teo Folek, di sini semalam.

Sehubungan itu Hishamuddin memohon kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran supaya mengambil langkah sentiasa berwaspada serta berhati-hati.

"Jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini akibat runtuhan yang berlaku maklumkan seberapa segera kepada pemimpin komuniti atau setempat kerana ia melibat nyawa.

"Kedua perlu dipastikan semua harta benda yang boleh dibawa dan dokumen-dokumen penting diselamatkan," katanya.

Menceritakan kejadian berkenaan, Hishamuddin berkata, peristiwa itu berlaku pada Jumaat kira-kira 6.00 pagi disebabkan hujan lebat bermula Khamis.

"Kita dapat lihat hujan yang turun agak lebat dan itu menjadi indikator menyebabkan tanah jadi lembut dan seterusnya runtuh.

"Sebelum ini runtuh sikit-sikit sahaja, selain rumah ini di atas sana masih banyak lagi kediaman, jadi saya minta semua penduduk berhati-hati,"ujarnya lagi.