• 05 Okt 2024 | 02 Rabiul Akhir 1446

Tarik Pelaburan RM2.4 Bilion Bukti Kerajaan di Landasan Tepat

KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Pelaburan bernilai RM2.4 bilion yang diterima oleh Terengganu menjadi bukti bahawa negeri ini ditadbir oleh pemimpin yang berwibawa sehingga mendorong pelabur untuk datang melabur.

Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Husaimi Hussin berkata pelaburan yang diterima itu telah mendatangkan manfaat kepada rakyat.

"Pelaburan bernilai RM2.4 bilion ini setakar Mac tahun ini (sahaja), iaitu 57 peratus daripada RM4.2 bilion pelaburan yang disasarkan pada tahun ini.

"Ini juga termasuk 65 peratus dari Pelaburan Langsung Asing (FDI) di mana Jepun menjadi pelabur tertinggi sebanyak RM600 juta adalah bukti nyata komitmen kita (kerajaan Terengganu).

"Hasilnya, lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu telah dibuka, memberikan lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Latihan Kebangsaa (NTW) 2024 Edisi Pantai Timur, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Husaimi berkata masih ada sektor yang perlu diteroka untuk dimanfaatkan rakyat selain daripada usaha kerajaan negeri menarik pelabur untuk mewujudkan pelbagai pekerjaan.

"Termasuk produk dan perkhidmatan pembinaan, tenaga lestari, pendidikan dan latihan, kajian dan penyelidikan, serta servis utiliti seperti pengurusan sisa dan buangan," ujarnya.