TEKUN Ikrar Pacu Usahawan Bumiputera Melalui Pembiayaan Mikro

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berikrar untuk terus memacu usahawan bumiputera ke tahap tertinggi melalui pembiayaan mikro yang dilaksanakan agensi terbabit.

Pengerusi TEKUN Nasional, Shaharizukirnain Abdul Kadir yang baru dilantik ke jawatan itu berkata, pihaknya akan cuba mencari kaedah terbaik membantu rakyat termasuk meneruskan segala agenda berkesan yang dirancang oleh pengerusi yang lepas.

“Sasaran kita golongan B40 dan M40 terutamanya yang terkesan dengan PKP baru-baru ini. Saya akan cuba membuat kerjasama dengan setiap agensi yang berkaitan terutamanya diperingkat negeri-negeri.

“Saya bercadang untuk membuat lawatan rasmi ke negeri-negeri dengan mengadakan kunjungan hormat kepada kerajaan negeri disamping berdialog bersama para usahawan secara terbuka,” ujarnya.

Belia berkata demikian kepada pemberita selepas dilantik menggantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor yang melepaskan jawatan tersebut pada 15 Mac yang lalu.

Hadir sama sesi taklimat TEKUN ialah Pengarah Urusan Dan Ketua Pengarah Eksekutif TEKUN, Dato' Adam Abdul Ghani, di Menara TEKUN kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau akan mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional dalam masa terdekat bagi merangka pelan strategik baharu disamping menambahbaik apa yang sedia ada untuk meningkatkan prestasi TEKUN dalam membantu usahawan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas kepercayaan dan amanah yang diberikan ini.

“Saya akan berusaha sedaya upaya saya untuk menggalasnya sebaik mungkin,” tambah beliau.