Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
HULU TERENGGANU, 11 Ogos - 'Temasya Tranung Kite' yang diadakan di Kuala Berang bermula 8 hingga 10 Ogos itu telah berjaya menarik lebih 15 ribu pengunjung dari seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata program tersebut adalah kejayaan besar bagi Hulu Terengganu dan negeri Terengganu secara keseluruhan.
“Kita menyasarkan lebih 10 ribu pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dan telah berjaya menarik lebih 15 ribu pengunjung.
“Selain itu, program ini berjaya menjana pendapatan sebanyak RM700 ribu untuk masyarakat tempatan melalui sewaan, jualan, bayaran persembahan, dan hadiah pertandingan.
"Kuala Berang dipilih sebagai lokasi program berkenaan kerana kedudukannya yang strategik, memudahkan akses dari LPT2 dan memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan pesisir sungai serta tempat-tempat menarik seperti Tasik Kenyir," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Temasya Tranung Kite 2024 di Kuala Berang, Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Mohd Amran Mohd Haris.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Persatuan ATMA Seni Budaya Terengganu.
Tambah Maliaman, pelbagai acara menarik yang diadakan pada temasya berkenaan termasuk Kejohanan Gasing Terbuka Asean, Kejohanan Ayam Serama Terbuka, Pertandingan Wau dan pelbagai lagi.
"Keberhasilan acara ini tidak hanya terletak pada jumlah pengunjung yang tinggi, tetapi juga pada penyertaan aktif komuniti tempatan dan penggiat seni yang menjayakan pelbagai aktiviti budaya.
“Program ini diharapkan akan menjadi pusat berhimpunnya penggiat-penggiat seni budaya tempatan, khususnya dari negeri Terengganu, untuk meneruskan kreativiti dan karya-karya mereka," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat yang telah menyokong dan membantu menjayakan program berkenaan.
Sementara itu, Mohd Amran berkata penganjuran berskala besar seperti itu, kali terakhir dianjurkan di negeri Terengganu adalah pada 10 tahun lalu.
Katanya, dalam tempoh tahun-tahun seterusnya JKKN akan berusaha mengangkat penganjuran sedemian menjadi acara tahunan.
“Bagi menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026, kita cuba terapkan lagi program yang berskala besar yang bertunjangkan seni budaya di negeri Terengganu.
“Jadi, Insya-Allah bermula pada tahun 2024 ini kita akan teruskan lagi penganjuran program-program yang dapat mengangkat dan juga memartabatkan kesenian negeri Terengganu,” ujarnya.