Terengganu Raikan Hari Penyu Sedunia: Program "Terengganu Turtles Tourism"
Terengganu Ambil Pendekatan Strategik Bangunkan TOD di Stesen ECRL
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah serta pendekatan strategik dengan melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat berkata, perancangan pembangunan kawasan di enam stesen tersebut telah diselaraskan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan akan dilaksanakan mengikut tiga fasa.
Menurut beliau, penyelarasan turut melibatkan peringkat daerah serta agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Malaysia Rail Link (MRL) bagi meningkatkan daya tarikan pasaran pembangunan kepada pihak swasta.
“Secara asasnya, setiap kawasan di stesen ECRL mempunyai pelan induk serta perancangan guna tanah yang akan dibangunkan mengikut fasa yang telah ditetapkan.
“Anggaran kos pembangunan bagi fasa pertama TOD dalam tempoh satu hingga tiga tahun adalah sebanyak RM228 juta, meliputi enam stesen. Ia merangkumi komponen seperti penyediaan infrastruktur, pengambilan balik tanah, kerja tanah dan pembinaan terminal transit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid semasa Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, perancangan pembangunan di kawasan TOD yang bermula tahun ini adalah bagi memastikan kerajaan mendapat manfaat yang optimum daripada pembinaan ECRL.
“Pelan pembangunan yang dirangka ini bertujuan memastikan pelaksanaan TOD di stesen ECRL negeri Terengganu dilakukan dengan terancang dan berkesan.
“Ia juga akan menjadi sumber maklumat penting bagi menarik pelabur untuk melabur di kawasan pembangunan tersebut sekali gus memberi manfaat maksimum kepada masyarakat setempat,” tambahnya.