Terengganu Bakal Wujudkan Garis Sempadan Tukun Dari Kemaman ke Besut

MARANG, 30 Mei - Kerajaan negeri dan agensi persekutuan sedang merancang projek usaha sama untuk mewujudkan garis sempadan tukun daripada Kemaman sehingga ke Besut sepanjang 245 Kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak lapan hingga unit 10 tukun disasarkan bagi dilabuhkan di setiap kelompok.

Katanya, projek itu merupakan satu usaha besar yang akan memberi manfaat kepada 8,309 nelayan Terengganu.

"Alhamdulillah pada tahun ini kita mendapat peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang kini dalam proses perolehan sebanyak RM3 juta bagi membolehkan sebanyak 100 unit tukan akan dapat dilabuhkan pada tahun ini.

"Usaha berterusan ini semakin lama semakin membuahkan hasil yang diperkatakan di semua peringkat termasuk usaha kita untuk menyelesaikan tiga isu besar nelayan.

"Iaitu pertama isu ketiadaan sumber, kedua isu perlesenan dan yang ketiga isu pencerobohan nelayan asing." ujarnya.

Beliau demikian berkata demikian semasa sidang media di Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi, di Jeti Pelancongan Marang, di sini, hari ini.

Dr Azman berkata pada hari ini sebanyak 12 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Pulau Kapas dan Pulau Redang, yang berada dalam kawasan taman laut sebagai tukun konservasi.

"Tujuannya adalah untuk memastikan berlaku pembiakan ikan yang kita labuhkan di kawasan larangan menangkap ikan.

"Usaha selama ini menampakkan impak positif yang sangat sangat ketara di mana peningkatan hasil perikanan Terengganu tahun 2023 berbanding tahun 2022 meningkat kira-kira 32 peratus.

"Suatu peningkatan yang sangat ketara dan maklumat ini diberikan secara langsung oleh para nelayan di lapangan," ujarnya.