Kerajaan negeri membelanjakan RM900 ribu setahun untuk menyelanggara Jalan Gua Musang-Aring-Kuala Berang yang rosak teruk akibat menjadi laluan lori bijih besi terlebih muatan.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata, jalan di laluan itu terjejas sejak 10 tahun apabila menjadi laluan utama kepada pengusaha-pengusaha bijih besi dari Gua Musang untuk menghantar bahan galian mereka ke Pelabuhan Kuantan.
Katanya, keingkaran pengusaha bijih besi yang membawa muatan itu menggunakan lori melebihi had yang ditetapkan menyebabkan kerosakan di laluan Gua Musang-Aring-Kuala Berang.
"Syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) untuk pengusaha bijih mengangkut bijih menggunakan lori adalah seberat 40 metrik tan.
"Namun begitu, mereka memuatkan bijih besi melebihi had sehingga ada yang bawa sehingga 90 metrik tan.
"Ini yang menyebabkan kualiti jalan rosak dan juga menghasilkan gegaran yang memberi kesan kepada lereng-lereng bukit dan akhirnya boleh menyebabkan runtuhan tanah sama ada berskala kecil, sederhana atau besar," kata Tengku Putera.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Salam Qaseh Sempadan Daerah Hulu Terengganu-Kelantan 2017, di Pusat Konservasi Gajah, Sungai Deka, Hulu Terengganu, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Kelantan, Dato' Paduka Norzula Mat Diah, Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Dato' Muda Mamat, Pengarah Penyiaran Negeri Terengganu, Nordin Sulaiman dan Ketua-ketua Jabatan.
Menurut Tengku Putera lagi, kos berulang terpaksa ditanggung oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membaiki jalan yang rosak setiap tahun.
"JKR sudah belanjakan lebih kurang RM900,000 setahun bagi membaiki jalan yang berlubang tapi perkara yang sama tetap berlaku apabila lori 'durjana' melalui jalan tersebut, ianya akan kembali rosak.
"Kita minta pihak berwajib sekiranya ada operasi penguatkuasaan,jika didapati bersalah, mereka ini harus dikenakan denda yang maksimum kerana jika terlalu rendah, tidak memberi kesan yang mendalam kepada pengusaha-pengusaha bijih besi,"katanya.
Tambahnya, masalah kerosakan jalan ini turut menjadi punca mengapa laluan Aring kurang popular di kalangan pengguna jalan raya.
"Apabila jalan berlubang, banyak rosak atau ada runtuhan maka para pengguna jalan raya akan merasa takut untuk menggunakan laluan tersebut atas faktor keselamatan.
"Jadi mereka mengambil alternatif menggunakan laluan lain yang lebih selamat walaupun memakan masa dan jarak yang lama sedangkan laluan Aring merupakan laluan terdekat ke Gua Musang, Cameron Highland dan Perak,"katanya.
Sementara itu, Norzula berkata, sama ada tempoh moratarium perlu dikenakankepada penguasa bijih besi berkenaan seperti pengusaha bauksit di Pahang, sewajarnya ia perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Pas Kelantan.
"Tapi apa yang dilihat setakat hari ini, kerajaan negeri tidak melakukan sebarang penguatkuasaan terhadap pengusaha bijih besi berkenaan.
"Ini adalah satu di antara yang menyebabkan mereka semua bermaharajalela dan tidak bertanggungjawab ke atas kerosakan yang berlaku di sepanjang laluan berkenaan," katanya.