Terengganu FC Teruskan Rentak Cemerlang

KUALA NERUS, 29 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Malaysia 2021 apabila menang tipis 2-1 ke atas Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sebentar tadi.

Kemenangan kedua diraih skuad kendalian Nafuzi Zain membolehkan Terengganu FC memimpin saingan Kumpulan B dengan enam mata.

The Red Giants bermula garang menerusi serangan Ifedayo Olusegun yang menerima umpanan Mukhairi Ajmal Mahadi namun percubaannya ditepis penjaga gol tuan rumah.

Gerakan satu dua Ifedayo dan Mukhairi terus mencemaskan Sang Penyu, mujur bola sempat dikeluarkan pertahanan, Azam Azmi Murad, di atas garisan gol pada minit ke-14.

Pada minit ke-23, Terengganu FC akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila hantaran Faisal Abdul Halim gagal dibaca Selangor untuk Dechi Marcel melepaskan rembatan luar kotak yang menggegarkan jaring gol.

Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa dengan tuan rumah memiliki kelebihan satu gol.

Aksi babak kedua semakin sengit setelah tuan rumah menjarakkan kedudukan 2-0 hasil gerakan Faisal dari sebelah kiri yang mudah disambar Lee Tuck pada minit ke-52.

Hasrat penyerang Terengganu, Jordan Mintah untuk mencetak nama selaku penjaring masih tidak kesampaian apabila percubaannya pada minit ke-59 dan ke-60 dinafikan Mohd Khairulazhan Khalid.

Selangor cuba menghidupkan peluang untuk mencuri mata dari tuan rumah apabila Mohamad Ashmawi Yakin merapatkan kedudukan kepada 1-2 pada minit ke-75.

Namun, kebangkitan itu sudah terlewat untuk menghalang kemenangan Terengganu FC.

 

 

 


Tag: