Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 4 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) gagal memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri apabila tewas tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam saingan Liga Super Malaysia 2021, sebentar tadi.
Tanpa kelibat penyerang utamanya, David Da Silva, Nafuzi Zain menempatkan Mohamad Faisal Abdul Halim dan Makan Konate selaku penyerang serta meletakkan tonggak Terengganu FC II, Argzim Redzovic mengetuai barisan pertahanan.
Dalam aksi separuh masa pertama, Johor DT sebagaimana dijangka lebih banyak melakukan asakan ke kubu tuan rumah.
Muhammad Safawi Rasid yang mengambil sepakan bebas pada minit ketiga hampir menjelmakan gol buat Harimau Selatan, namun rembatannya ditepis Mohd Suhaimi Husin.
Sang Penyu pula nyaris mendahului lawan pada minit ke-18 apabila sepakan bebas Lee Tuck ditanduk Argzim membolosi gawang Farizal Marlias, bagaimanapun golnya dibatalkan pengadil kerana 'offside'.
Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan lebih banyak merencanakan serangan.
Johor DT akhirnya berjaya membuka akaun jaringan pada minit-minit terakhir separuh masa pertama, apabila bola rembatan Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang ditepis Suhaimi tiba tepat ke kaki Shane Lowry untuk beliau meledak jaringan pertamanya musim ini.
Tamat separuh masa pertama dengan Johor DT mendahului satu gol di depan.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC cuba mencorakkan lebih banyak serangan ke kubu pelawat bagi menyamakan kedudukan.
Pada minit ke-72, Johor DT hampir menambah jumlah gol apabila Bergson menanduk kencang hantaran Safawi namun dinafikan tiang gol.
Safiq Rahim cuba menyudahkan bola yang kembali keluar, bagaimanapun Suhaimi lebih tangkas menidakkan peluang itu.
Pada minit ke-83, Nik Akif menerima hantaran lintang Lee Tuck, namun rembatannya tersasar.
Keputusan kekal sehingga tamat perlawanan dengan Johor DT menang 1-0.
Dengan keputusan tersebut, Terengganu FC kekal di tangga ketiga dengan 37 mata, sama mata dengan Penang FC di kedudukan keempat liga yang akan bertemu Sri Pahang di Kuantan, esok.