TIS 2024: Lima Teras Bangun Kesatuan & Solidariti Keamanan Global
DUNGUN, 18 November - Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak mengutamakan pemain-pemain bintang untuk menyarung jersi jaguh pantai timur itu meskipun bakal membawa cabaran mewakili negara ke Piala AFC (Asian Football Confederation) pada tahun hadapan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim sebaliknya meletakkan sasaran untuk mendapatkan pemain yang mahu mencapai kemenangan bersama pasukan sebagai kunci utama.
"Saya rasa itu satu kunci yang besar. Kita tak meletakkan nama besar sebagai kaedah untuk mencapai sasaran tetapi kita ingin orang yang mahu mencapai kemenangan dan berkhidmat untuk bola sepak Terengganu.
"Yang saya boleh sebut di sini, untuk musim depan kita akan melepaskan boleh dikatakan ramai pemain dan kita juga akan mendapatkan pemain-pemain baru," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belila, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ke tapak pembinaan velodrom di Dungun, semalam.
Tambahnya, meskipun begitu, Terengganu FC akan terus mengekalkan DNA Terengganu yang mengutamakan produk anak negeri sebagaimana dilaksanakan pada 2019 dan 2020.
"Dalam masa sama, kita akan pastikan DNA Terengganu terus berkembang, jadi penyokong bola sepak Terengganu perlu memberi ruang untuk pasukan kita terus melangkah lebih baik selepas ini.
"Kalau kita lihat dari 'roadmap' yang telah kita susun, kita agak gagal pada 2019, tetapi tahun ini kita berjaya mencapai sasaran dan kita sudah berada pada landasan yang betul sebenarnya.
"Kita percaya dan sentiasa lakukan 'post mortem', namun diakui ia perlu penambahbaikan. Walaupun berlaku sedikit perubahan pasukan, tetapi saya percaya pihak jurulatih telah membuat satu keutamaan untuk membentuk pasukan yang mampu beraksi dengan baik untuk Piala AFC," katanya.
Hishamuddin turut menyifatkan pemilihan Terengganu FC ke Piala AFC sebagai satu bonus bagi pasukan itu.
"Kita tak meletakkan sasaran sebenarnya pada AFC, tahun ini sasaran untuk Liga Super Malaysia pasukan kita adalah berada di kedudukan tiga terbaik dan rezekinya kita dapat tempat ketiga.
"Kita perlu akur pasukan kita bukan pasukan yang memiliki bintang-bintang hebat dalam bola sepak kerana faktor kos dengan perbelanjaan agak kecil jika dibandingkan dengan pasukan lain. Tetapi, pencapaian ini pada saya adalah satu kejayaan yang sudah cukup membanggakan Terengganu," katanya.