lightning-solid
Berita :
Terengganu Galak Pelabur Sertai Projek 'Renewable Energy' Tanpa Tetapkan Angka Khusus
Terengganu Galak Pelabur Sertai Projek 'Renewable Energy' Tanpa Tetapkan Angka Khusus
Mastura Jamal Din
12 Nov 25
205

KUALA TERENGGANU, 12 November – Kerajaan Negeri Terengganu giat memacu pembangunan industri tenaga boleh diperbaharui melalui kerjasama strategik bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelabur swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya menyambut baik peruntukan RM4.95 bilion bagi Tahun 2025 daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memperkukuh kempen tenaga boleh diperbaharui. 

"Peruntukan tersebut memberi fokus kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Program Net Energy Metering, Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) serta pembangunan 3,171 stesen pengecas kenderaan elektrik di seluruh negara.

"Kerajaan Negeri bertindak sebagai pemudah cara dengan menyediakan tapak atau tanah yang sesuai, manakala kos pembangunan, pemasangan teknologi dan operasi projek ditanggung sepenuhnya oleh pelabur.

"Kerajaan Negeri juga menegaskan tiada angka khusus perbelanjaan ditetapkan, tetapi sentiasa memberi kerjasama penuh supaya GLC negeri dan pelabur dapat memanfaatkan insentif Kerajaan Persekutuan.

"Langkah ini dijangka mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga bersih di negeri ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato' Harun dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, usaha ini bukan sahaja menggalakkan pelaburan hijau, malah menjadikan Terengganu sebagai hab tenaga bersih yang mampan di Malaysia.


Tag :

Artikel Berkaitan