SETIU, 13 Jun - Rumput Napier di Terengganu bakal memberi manfaat berganda kepada negeri serta golongan tani apabila tanaman itu boleh dijadikan silaj dan baja kompos untuk makanan ternakan dan pemulihan tanah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, silaj dan baja kompos itu kemudiannya akan diproses bagi pemulihan tanah untuk projek penanaman lada hitam syarikat McCormick di Lembah Bidong.
"Projek ini bukan hanya melibatkan TADC, tetapi dalam masa yang sama melibatkan usahawan-usahawan tempatan melalui terma-terma perjanjian yang telah ditetapkan. Di antaranya adalah, mereka akan membekalkan rumput yang ditanam itu kepada TADC untuk dijadikan makanan ternakan dan baja kompos ini.
"Dengan adanya projek ini, kita harap rakyat setempat mampu mengambil sebanyak mungkin manfaat yang ada.
"Dalam masa sama, projek di bawah Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu sebanyak 18 projek ini dapat menyokong di antara satu sama lain kerana di antara salah satu projek ini, kita ada juga penternakan kambing tenusu, sekaligus memerlukan sumber pemakanan dari projek ini.
"Rantaian yang dapat kita lihat berdasarkan projek ini adalah saling melengkapi antara satu sama lain," katanya ketika ditemu bual semasa Majlis Perasmian Projek Ladang Rumput Napier dan Kompos bertempat di Kampung Setia Jaya, Merang, semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corp Sdn.Bhd (TADC), Azhar @ Wahab Jusoh memaklumkan, setiap usahawan akan diberikan lima ekar tanah untuk diusahakan ladang rumput napier.
Katanya, dianggarkan 20 metrik tan hasil dapat dituai dalam jangka masa 40 hingga 45 hari untuk seekar tanah.
"Selain bahan asas seperti baja, racun dan benih akan dibekalkan oleh TADC, kita juga akan membeli hasil ini dengan harga rm80/metrik tan. Para pengusaha tidak perlu untuk mengeluarkan sebarang modal untuk mengusahakan projek ini.
"Paling menarik, sebanyak RM8,000 akan dibayar untuk usahawan yang mengusahakan lima ekar tanah bersamaan dengan hasil yang dapat dituai selama 45 hari sekali gus dapat mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan yang membelenggu rakyat negeri ini," katanya.