Terengganu Inc Taja Hakim Danish

KUALA TERENGGANU, 30 April – ZK Racing mengumumkan bahawa Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) menaja pelumba cilik dari Terengganu, Muhammad Hakim Danish Ramli untuk saingan musim ini.

Penajaan ini melibatkan perbelanjaan Hakim Danish di dalam Kejohanan Red Bull MotoGP Rookies Cup dan juga Kejuaraan European Talent Cup.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata keputusan itu dibuat kerana melihat potensi yang sentiasa ada dalam diri Hakim Danish serta keazamannya untuk berjaya.

Katanya, kejayaannya itu akan membawa kebanggaan kepada rakyat Terengganu dan Malaysia sekali gus mengharumkan nama negara.

“Terengganu Inc percaya dengan membina hubungan melalui sukan ini dapat membawa perubahan positif kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Dalam pada itu, Hakim Danish meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih diatas penajaan tersebut.

“Saya akan terus memberikan yang terbaik dari segi prestasi diri dan motivasi untuk melangkah lebih tinggi dan berjaya dalam karier saya,” ujarnya.

Red Bull MotoGP Rookies Cup ialah siri perlumbaan motosikal yang dipertandingkan bagi penunggang muda tidak berpengalaman dalam Grand Prix motosikal.

Untuk makluman, Hakim Danish merupakan pelumba negara pertama yang mencipta sejarah setelah menjuarai Kejuaraan Asia Talent Cup sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2014.


Tag: