Terengganu Jelas Pendirian Tolak Ratifikasi ICERD - MB
Dr Samsuri ditemui hari ini, mengulas tentang polemik yang berlaku dalam isu ICERD. |
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu melihat dengan cara panjang lebar tentang sejarah pembentukan negara Malaysia sendiri.
"Pendirian kami di Negeri Terengganu adalah jelas, iaitu kita tidak menerima cadangan untuk ratifikasi ICERD ini kerana kita perlu melihat dengan cara panjang lebar tentang sejarah pembentukan negara Malaysia sendiri.
"Saya percaya sebenarnya isu-isu yang dibangkitkan mengenai diskriminasi berasaskan kaum, warna kulit dan sebagainya itu boleh diselesaikan dengan apa jua peruntukan perlembagaan dan kaedah perundangan yang ada dalam negara kita.
"Jadi, untuk kita mengambil satu langkah yang sangat besar iaitu ratifikasi ini, ianya akan memberi kesan jangka panjang kepada struktur dan demografi masyarakat dalam negara kita yang pelbagai kaum dan sebagainya," katanya kepada pemberita hari ini, mengulas tentang polemik yang berlaku dalam isu ICERD.
Dalam tumpuan sama, Dr Samsuri turut memberitahu, beliau percaya sebenarnya isu ini perlu diperhalusi dengan begitu mendalam akan kesannya kepada struktur dalam masyarakat.
"Ianya tidak semudah untuk kita ratifikasi dan duduk diam saja tanpa berbuat apa-apa. Ianya jelas berkait mengenai kedudukan, peraturan dan enakmen yang ada dalam perlembagaan kita.
"Apabila sudah dibuat ratifikasi, bermakna langkah seterusnya adalah untuk melakukan perubahan struktur dalam perlembagaan dan perundangan negara kita.
"Inilah yang akan menimbulkan suasana yang tidak sesuai buat masa ini dalam negara kita.
Oleh kerana itu, katanya, kerajaan negeri menolak sekeras-kerasnya satu usaha untuk ratifikasi ICERD tersebut.