• 18 Sept 2024 | 14 Rabiul Awal 1446

Terengganu Juara Veteran Badminton MAKSAK

KUALA TERENGGANU, 8 September- Kontinjen Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Terengganu muncul juara acara beregu lelaki veteran dalam Kejohanan Badminton MAKSAK yang berakhir hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, peningkatan prestasi pasukan Terengganu turut dibuktikan apabila Terengganu turut muncul naib johan dalam acara perseorangan wanita dan beregu campuran pada kejohanan berkenaan.

"Pada kali ini juga dalam acara kejohanan badminton, MAKSAk Malaysia telah bersetuju menjadikan ia 'single event' yang mana setiap perlawanan akan memberikan markah kepada pasukan. Ia memberikan ruang dan peluang kepada semua untuk pergi ke peringkat lebih tinggi.

"Hari ini, alhamdulillah kita dapat johan veteran, beregu campuran (dan perseorangan wanita) naib johan. Kalau dahulu mungkin ia dimonopoli oleh negeri-negeri tertentu sahaja seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan, tetapi kali ini kita nampak Pulau Pinang, Melaka dan juga Terengganu sendiri.

"Ia satu langkah yang sihat bagi saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah kejohanan itu di Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, hari ini.

Dalam kejohanan tersebut, kontinjen Selangor memenangi acara perseorangan wanita, beregu lelaki dan beregu campuran.

Manakala, kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul pemenang acara perseorangan lelaki.

Kejohanan Badminton MAKSAK kali ini menghimpunkan 15 pasukan membabitkan 200 atlet.

Kejohanan berkenaan berlangsung selama empat hari bermula Khamis dan berakhir hari ini.


Tag: