KUALA NERUS, 3 November - Tiga gol awal Terengganu FC dalam masa kurang 30 minit pada separuh masa pertama melenyapkan hasrat Perak FC untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia 2021.
Dalam aksi peringkat kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebentar tadi, skuad kendalian Nafuzi Zain sekali lagi menang mudah, kali ini dengan keputusan 4-0 ke atas anak-anak buah Mohd Shahril Nizam Khalil.
Tuan rumah mencipta gol pertama seawal minit ke-12 apabila Faisal Halim bijak melakukan sepakan bebas pantas yang disudahkan rembatan cantik Makan Konate menewaskan Hafizul Hakim.
Walaupun pemain-pemain Perak FC membantah, pengadil Mohd Hasrol Mohd Amir mengesahkan gol berkenaan.
Bos Gaurus terus dihukum Sang Penyu, tujuh minit kemudian.
Bermula dari umpanan Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar, Faisal Halim melakukan hantaran lintang rendah yang ditolak mudah penyerang kesayangan ramai, David Da Silva untuk gol kedua Terengganu pada minit ke-19.
Pada minit ke-26, Dechi Marcel yang menerima bola dari Faiz Nasir melakukan 'half volley' tepat ke dalam gawang lawan.
Terengganu FC selesa dengan perbezaan tiga jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Perak FC cuba bangkit tetapi penguasaan bola terus dikekalkan Terengganu FC.
Sang Penyu yang mula mengendurkan asakan bagaimanapun terus menambah jaringan.
Habib Haroon yang dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-60 dalam satu serangan balas pantas, tenang menyempurnakan penalti untuk jaringan keempat pasukan.
Terengganu kekal mendominasi permainan dalam perlawanan yang disaksikan 4,200 orang penyokong sehingga wisel penamat dibunyikan.
Terengganu FC kini mengungguli carta Kumpulan B dengan 12 mata dan secara meritnya telah layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021.