lightning-solid
Berita :
Terengganu Keluar Peruntukan Segera RM265,000 Bina Semula Jeti Beris Tok Ku
Terengganu Keluar Peruntukan Segera RM265,000 Bina Semula Jeti Beris Tok Ku
Hidayah Azlin
20 jam yang lepas
210

SETIU, 2 Mac – Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan kelulusan peruntukan segera sebanyak RM265,000 bagi membina semula Jeti Nelayan Beris Tok Ku yang runtuh akibat hakisan tebing sungai yang serius.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, projek tersebut merangkumi kerja-kerja pemasangan cerucuk keping (sheet pile) dan struktur berkaitan bagi mengukuhkan tebing daripada terus terhakis.


Menurutnya, langkah itu perlu diambil segera bagi memastikan keselamatan kawasan berkenaan sebelum pembinaan jeti baharu dimulakan untuk kegunaan komuniti nelayan setempat.


"Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bagi kerja-kerja pemasangan sheet pile serta kerja berkaitan bagi mencegah runtuhan dan pembinaan sebuah jeti baru dengan anggaran kos RM265,000.


"Projek ini dibiayai sepenuhnya menggunakan peruntukan negeri demi kemudahan nelayan di sini," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial beliau hari ini. 


Mengulas lanjut mengenai tempoh pelaksanaan, Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi optimis bahawa projek tersebut mampu disiapkan dalam tempoh singkat.


"Insya-Allah, ia boleh siap dalam tahun ini juga kerana kerja-kerja tersebut tidak akan mengambil masa yang lama," tambahnya lagi.


Terdahulu, struktur jeti asal dilaporkan tidak lagi selamat untuk digunakan selepas tebing sungai di kawasan tersebut mengalami runtuhan besar, sekali gus menjejaskan aktiviti harian nelayan untuk mendaratkan hasil tangkapan.


Tag :

Artikel Berkaitan