Terengganu Kembali Laksana Program Usahawan
KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) mempunyai program khas keusahawanan untuk golongan muda mencipta kerjaya iaitu Program U-BES (Usahawan Belia Sejahtera).
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, program tersebut bertujuan melahirkan usahawan belia dan beliawanis lepasan SPM menjadi usahawan khususnya perniagaan atas talian selaras dengan perkembangan ekonomi digital.
“YPU telah menyelaraskan empat kumpulan U-BES dengan 40 peserta setiap peringkat dan peringkat kelima akan dimulakan pada tahun ini.
“YPU juga mengadakan program-program kursus secara berkala bagi usahawan 'Start-Up', 'Scale-Up' dan 'High Performing',” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Tambah beliau, di bawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS), pembiayaan khas bagi perniagaan atas talian iaitu Skim Perniagaan Atas Talian (SPAN) juga adalah lebih menjurus bagi membantu Usahawan belia yang banyak terlibat dalam perniagaan atas talian.
Sementara itu, Ariffin memaklumkan, Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Terengganu 2024-2028 dirangka sebagai kesinambungan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan di Terengganu.
“Pelan ini mengambil kira perancangan jangka pendek, sederhana, dan panjang serta bertujuan menyokong pembangunan sosioekonomi negeri secara holistik.
“Beberapa teras strategik utama diambil kira antaranya mewujudkan usahawan berdaya saing di peringkat global, pembangunan data usahawan berpusat, infrastruktur perniagaan serta konsultasi pembangunan halal," katanya.