• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Komited Lahirkan Golongan Saintis Islam


A. Latiff bermesra dengan sebahagian pelajar terpilih dalam Program Saintis Islam Terengganu Kohort III 2017, di UMT, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Terengganu akan terus komited untuk melahirkan golongan saintis Islam yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dan menguasai ilmu astronomi, kejuteraan, al-Quran serta kebijaksanaan emosi menerusi Program Saintis Islam Terengganu Kohort III, yang dilancarkan hari ini.

Yayasan Terengganu (YT) akan menaja pelajar yang terpilih daripada program selama sebulan berakhir 2 Mac  ini, dari peringkat Ijazah Sarjana Muda sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dengan perbelanjaan kira-kira RM1.2 juta seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, sehingga kini, dua pelajar terpilih dari daripada program sebelum ini, masing-masing mengikuti kursus A-level di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) Lembah Beringin, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Pelajar Kohort pertama (2015), Mohammad Nur Irfan Mohd Zameri kini di semester empat dan dijangka akan mengikuti bidang Aerongkasa di universiti terkemuka di United Kingdom pada September ini.


“Pelajar Kohort kedua (2016) pula  Muhammad Lutfil Hady Zainol Hady, di semester dua kolej yang sama dan pengajian beliau akan ditaja bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program sainstis Islam Terengganu Kohort III 2017, di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof  Dato Dr. Nor Aieni Mokhtar;  wakil Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Suffian Mohammad Tajudin; Pengarah YT,  Mohammad Sulong dan Ketua Pengawai Eksekutif Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Prof Madya Dr  Wan Nor Liza Mahadi.

A Latiff berkata, program pada kali ini menggunakan modul khas  bertajuk `Saintis Islam: Anjakan Cendekiawan Profesional’ yang dilancar pada Mei  lalu sempena perasmian penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016, bagi tujuan pengajian dengan bimbingan 58 penyelidik dan pensyarah daripada UMT dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tambahnya, 10 sub modul meliputi judul Apresiasi Ketamadunan Islam dan Kenegaraan, Integrasi Minda Quranik dan Saintifik, Pengembangan Dua Fikir dan Intelektual serta Pemantapan Jati Diri Psikospiritual, Komunikasi dan Dominasi Bahasa, Kecergasan Fizikal dan Pemakanan Rasulullah, Penerokaan Sains dan Matematik, Aplikasi Teknologi dan Kejuruteraan, Keusahawanan serta Eksplorasi Kerjaya.

Katanya, program kerajaan negeri menerusi kerjasama YT, UMT  dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT)  melibatkan seramai 17 orang peserta (2017) yang terpilih  selepas melalui proses saringan dan temuduga.

Manakala program pada tahun pertama dan kedua yang bermula pada  2015, masing-masing melibatkan seramai 10 peserta.


Untuk tahun ini, pelajar yang terpilih akan ditaja bagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan.

Menurut beliau lagi, program berkenaan bukan hanya dapat melahirkan generasi muslim berpengetahuan, berkemahiran dan berkepimpinan tetapi juga berjiwa holistik seperti yang dihasratkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.



Tag: