Terengganu Lokasi Pencarian Protege Ekspeditor Negara

Sebahagian peserta yang hadir pada Programpada Program Sesi Perkongsian Pengalaman dan Pemilihan Protege sempena Misi Aweta 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini. Harish Fadzillah Kassim 
Selari dengan hasrat untuk melahirkan lebih ramai pelapis ikon berjaya terutamanya di kalangan wanita, Sekretariat Aweta yang membawa misi All Women Expedition To Antartica (Aweta) 2018 kini giat memilih wanita muda Terengganu selaku pelapis kepada Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir.

Misi diketuai Sharifah Mazlina, yang juga wanita Islam pertama berjaya merentasi Kutub Utara sedang mengenal pasti lima wanita yang layak untuk menyertai ekspedisi yang dijadualkan pada November tahun depan.

Sharifah Mazlina berkata, misi itu bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis ikon berjaya pada masa akan datang.

“Ketika ini, negara masih kekurangan ikon dalam kalangan wanita yang boleh dijadikan sebagai contoh, sekali gus mampu dijadikan panduan oleh generasi muda hari ini.

"Setelah 15 tahun saya dijadikan sebagai ikon kepada masyarakat terutamanya wanita, kini sudah tiba masanya saya mencari pelapis untuk meneruskan kejayaan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Sesi Perkongsian Pengalaman dan Pemilihan Protege sempena Misi Aweta 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.

Aweta 2018 merupakan kesinambungan misi ke Antartika oleh Sharifah Mazlina pada tahun 2004 (Ekspedisi Solo Merentasi Antartika 2004) untuk mengambil dan membawa balik kapsul masa yang ditanam.

Menurutnya,  sepanjang tempoh 15 tahun,  dia turun padang berkongsi pengalaman dan memberikan motivasi kepada orang ramai, namun kini dia ingin mencari anak didik dan ia direalisasikan dengan misi Aweta ini.

"Pihaknya mahu mencari lima wanita untuk bersama-sama saya menjelajah ke Antartika yang dijadualkan pada November tahun depan.

"Sepanjang mengikuti latihan yang merangkumi fizikal, mental dan sebagainya ini,peserta juga akan diterapkan dengan pelbagai ilmu supaya apabila tamat misi ini nanti mereka akan menjadi ikon yang berjaya,"katanya.



Tag: