KUALA TERENGGANU, 13 November – Kerajaan negeri terus komited dalam usaha mengekalkan kedudukan Terengganu sebagai ‘The Land of Cyclists’, sejajar dengan matlamat menjadikan negeri ini sebagai hab sukan berbasikal utama di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata, pelbagai program pembangunan sukan berbasikal dan program lain diperkenal dan dianjurkan dalam usaha mengekalkan gelaran ini sekali gus menanam minat dan mencungkil bakat sukan berbasikal dikalangan masyarakat.
“Antaranya program berbasikal yang telah diadakan sepanjang tahun 2025 adalah Le Tour De Langkawi, Tour Gateh De Tranung, TSG Fellowship Ride, Terengganu Pushbike Cup, International Golden Monsoon Ride, Fun Ride (acara Sampingan mana-mana program besar) dan ASEAN Fun Ride Cycling Terengganu 2025 (sebahagian daripada Cycling Tour ASEAN Solidarity 2025).
“Dengan adanya program-program sebegini, ia secara tidak langsung memberikan kesan positif terhadap ekonomi setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Belanjawan 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas lanjut Hishamuddin berkata, pelbagai program berteraskan belia, sukan dan NGO akan diadakan pada tahun hadapan dengan penglibatan dari agensi kerajaan serta agensi swasta bagi memakmurkan lagi Negeri Terengganu.