KUALA NERUS, 26 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) menang mudah ke atas Kuching City FC dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2021, sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), tuan rumah mempamerkan corak serangan dan penguasaan bola yang tinggi seawal minit pertama.
Pada minit ketiga, sepakan percuma Lee Tuck ditepis penjaga gol, Wan Muhammad Azraie.
Terengganu FC hampir mendapatkan gol pertama pada minit ke-8, namun tandukan Makan Konate hasil sepakan percuma Lee Tuck 'diselamatkan' tiang gol.
Gol sulung perlawanan hadir melalui sepakan penalti apabila penyerang Terengganu FC II yang dinaikkan, Jordan Mintah dijatuhkan Wan Azraie pada minit ke-17.
Lee Tuck hampir-hampir gagal merobek gawang Kuching City apabila sepakan penaltinya diselamatkan Wan Azraie, namun berjaya menyudahkannya setelah pengadil memutuskan sepakan penalti diambil semula pada minit ke-22.
Tuan rumah terus melakukan beberapa percubaan ke kubu lawan sementara pelawat langsung tidak berjaya menyerang ke gawang tuan rumah.
Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC berjaya menggandakan kelebihan gol seawal minit ke-48 melalui Faisal Halim.
Tandukan Makan Konate hasil sepakan sudut Lee Tuck, ditampan pertahanan lawan tetapi Faisal pantas menolak bola muntah tersebut ke gawang untuk Terengganu FC selesa di depan.
Skuad kendalian Nafuzi Zain terus mengekalkan penguasaan bola sambil anak buah 'sifunya' Irfan Bakti Abu Salim buntu merencanakan serangan dan bertahan sehingga tamat perlawanan.
Terengganu kini mendahului carta kumpulan B dengan kelebihan jaringan apabila Selangor sekadar menang 1-0 menentang Perak dalam satu lagi aksi di Shah Alam, hari ini.