Terengganu Menuju Era Bandar Pintar & Ekonomi Digital

KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Terengganu kini bersedia untuk melonjak sebagai pusat bandar pintar dan ekonomi digital, hasil daripada kerjasama strategik antara syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Terengganu Advance Joint Digital Intelligent Developement Corporation (TAJDID) Corporation Sdn. Bhd. dan tiga syarikat teknologi terkemuka.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerjasama dengan syarikat Kiwitech Sdn. Bhd., Digital Dagang Sdn. Bhd., serta Mieruka Sdn. Bhd. itu dijangka mempercepatkan transformasi bandar pintar, e-dagang, dan industri perkilangan digital negeri. 

"Kiwitech komited untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pintar yang lebih selamat dan efisien. 

"Dengan teknologi canggih, kita dapat membangunkan bandar yang lebih lestari dan mesra rakyat serta mengubah landskap pembangunan negeri. 

"Kita mahu Terengganu menjadi contoh dalam penggunaan teknologi bandar pintar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menandantangani perjanjian Persefahaman (MOU) bersama Industri, di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Husaimi Hussin, Pengarah Eksekutif TAJDID Corporation Sdn. Bhd.; Azih Yusof.

Menurut Mohd Nurkhuzaini, inisiatif ekonomi digital terus diperluaskan melalui platform e-dagang Cartsini oleh Digital Dagang Sdn. Bhd. yang bakal membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menembusi pasaran global.

"Platform e-dagang akan menjadi pemacu utama kepada usahawan digital negeri ini, kita mahu melihat lebih banyak produk tempatan menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.

“Kemajuan teknologi membuka pintu baharu kepada perniagaan kita, kita yakin, dengan sokongan penuh, PMKS Terengganu mampu bersaing di peringkat global," jelasnya.

Sementara itu dalam sektor perkilangan, Mieruka Sdn. Bhd. akan memperkenalkan teknologi perkilangan pintar yang bakal meningkatkan daya saing industri tempatan.

"Teknologi ini akan merevolusikan sektor perkilangan di Terengganu.

"Automasi dan digitalisasi industri akan meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos operasi, lebih banyak syarikat tempatan perlu mengadaptasi teknologi baharu untuk kekal relevan.

"Kita mahu melihat industri tempatan berkembang ke peringkat lebih tinggi dengan teknologi moden," ujarnya.