Terengganu Model Perpaduan Kaum Yang Inklusif
KUALA TERENGGANU, 21 November – Terengganu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu negeri contoh dalam perpaduan kaum menerusi pendekatan inklusif yang merangkumi semua aspek kehidupan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata usaha ini dilaksanakan secara berterusan tanpa mengira waktu atau keadaan.
“Apabila kita turun padang ke daerah-daerah untuk menyantuni golongan memerlukan, saya turut melibatkan pelbagai kaum yang berbeza.
“Walaupun sasaran utama ziarah ini adalah golongan susah kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, kehadiran masyarakat Cina, India, dan juga Orang kurang Upaya (OKU) dalam majlis ini mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi.
“Konsep kebajikan kita adalah bersifat merentas, tidak semestinya hanya pada program semasa perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali sahaja,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurut Maliaman, Terengganu dilihat sebagai model perpaduan yang berjaya di Malaysia kerana tiada isu pergeseran kaum dilaporkan.
Beliau percaya pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan mampu mengekalkan keharmonian serta memberi inspirasi kepada negeri-negeri lain.
“Untuk mengukur kejayaan ini, kita tidak mempunyai kayu ukur yang khusus. Namun, matlamat utama aktiviti perpaduan adalah untuk mewujudkan jalinan mesra antara pelbagai kaum di Terengganu.
“Ketiadaan isu pergeseran dan ketegangan kaum di negeri ini menjadi bukti bahawa program-program perpaduan yang dilaksanakan telah mencapai matlamat dan sasarannya.
“Bahkan, isu-isu ketegangan kaum yang berlaku di luar Terengganu tidak wujud di sini, dan ini menunjukkan bahawa Terengganu boleh dijadikan model perpaduan,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menyifatkan perpaduan di negeri ini sebagai bersifat merentas dan tidak terhad kepada isu atau masa tertentu.
“Segala aktiviti berkaitan kebajikan dilaksanakan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada musim perayaan seperti Deepavali atau Tahun Baru Cina sahaja,” tambah Maliaman.