Terengganu Mulakan Penggunaan Lampu Isyarat Pintar

KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Kerajaan Terengganu sudah memulakan penggunaan lampu isyarat pintar menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan kenderaan curi dengan pantas dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, lampu isyarat di simpang empat Jalan Sultan Ismail di sini menjadi perintis sebelum ia diperluaskan ke semua lokasi terpilih.

Katanya, fungsi tersebut membolehkan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat perancangan tepat dari segi aliran trafik, mengelakkan risiko kemalangan serta pelbagai tujuan lain.

"Antara kelebihan sistem trafik tersebut adalah keupayaan menilai corak penggunaan jalan raya dari segi jumlah pengguna, pergerakan trafik waktu kemuncak dan membantu penguatkuasaan peraturan.

“Kita gunakan istilah otak bagi lampu isyarat ini,  ia berbeza dengan cip pengesan yang didapati pada lampu isyarat biasa seperti mengira jumlah kenderaan yang lalu lengkap dengan tarikh dan masa selain mampu mengesan kenderaan curi.

“Contohnya apabila waktu kemuncak di bandar raya pada empat penjuru, teknologi ini membolehkan kita mengawal keadaan tersebut, jika dikembangkan liputan sistem ini dapat berhubung antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Lampu Isyarat Kecerdasan Buatan (AI Traffic Light) Di Terengganu di Event Space TD1303, semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh

Menurut Ariffin,perkembangan projek perintis itu akan dinilai sebelum ia akan dipasang secara berperingkat di sekitar bandar raya Kuala Terengganu sejajar dengan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu menjelang tahun 2030.

“Pembangunan ini mengambil kira tindak balas pengguna, kesan kepada rakyat dengan masa pembikinan panjang, namun begitu, sasaran kita bukan satu lampu isyarat sahaja tetapi banyak lagi,” tambahnya.

Untuk rekod katanya, projek melibatkan peruntukan sekitar RM178,000 itu terdiri daripada komponen seperti kamera litar tertutup (CCTV), jaringan elektronik serta alat pengesan dalam membina sebahagian daripada sebuah sistem pengangkutan pintar.