• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Terengganu Perluaskan Program Free Market Anak Perantau Ke Seluruh Malaysia



Terengganu berhasrat memperluaskan Program Free Market Anak Perantau  ke semua zon seluruh negara dalam tempoh terdekat bertujuan memberi manfaat kepada anak negeri yang berada di luar Terengganu.

Antara zon yang akan terlibat Zon Pantai Timur, Zon Lembah Klang, Zon Selatan, Zon Utara, Zon Sabah dan Zon Sarawak.

Manakala program sama peringkat Zon Lembah Klang yang diperkenalkan Kelab Anak Darul Iman Malaysia (KADIM) mulai hari ini akan diadakan setiap bulan dengan tempoh yang lebih panjang.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya berharap penganjur dapat mengadakan program seumpama itu selama dua hari berturut- turut pada setiap bulan.

"Banyak manfaat boleh diperolehi daripada program itu, bukan sahaja boleh mengambil pelbagai barangan kelengkapan harian dan keperluan dapur secara percuma malah mendapat pelbagai manfaat sampingan lain.


"Anak perantau juga boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan kaunter T- Cakna melalui agensi yang terlibat, "katanya.

Antaranya Tabung Darul Iman, Yayasan Pembangunan Usahawan, Yayasan Terengganu (YT), Suruhanjaya Pilihanraya dan Yayasan Pembangunan Keluarga.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Selepas Program Free Market Anak Perantau di perkarangan Pejabat YT di Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria dan Pengerusi KADIM, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.



Kira- kira 3,000 anak Terengganu terutama yang tinggal di Lembah Klang, Kuala Lumpur dijangka hadir pada program yang akan berakhir pada jam 3 petang ni.

Ahmad Razif berkata, pihak berkaitan giat menghebahkan program itu melalui pelbagai saluran  sama ada melalui siaran televisyen, hebahan radio, media cetak dan dalam talian.

"Kira- kira 3,000 anak Terengganu di Lembah Klang sewajarnya mengambil peluang dengan apa yang disediakan kerajaan Terengganu itu, "katanya.

Tag: