Terengganu, Persekutuan Sepakat Rangka Kerjasama Strategik Pertanian

KUALA LUMPUR, 8 Januari – Kerajaan Terengganu terus meningkatkan jalinan bersama Kerajaan Persekutuan bagi membentuk dan merangka pelan kerjasama yang strategik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata usaha ini diteruskan demi kelangsungan dan keterjaminan makanan negara yang amat penting.

"Kerajaan Persekutuan ada dana, Terengganu pula mempunyai tanah, air, perancangan strategik dan kumpulan yang siap bekerja. Maka kita perlu bekerjasama demi memperkukuhkan program keterjaminan makanan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan kunjung hormat Kerajaan Negeri Terengganu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Bilik Mesyuarat Wawasan Galeria Putrajaya.

Tambah Dr. Azman, Terengganu sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan hasil perbincangan bakal dimanfaatkan kepada rakyat khususnya petani, penternak dan nelayan.

"Petang ini, delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

"Banyak perkara berkaitan program dan projek-projek keterjaminan makanan yang dibincangkan serta diambil kata sepakat dalam rangka membentuk kerjasama strategik Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Doakan semoga segalanya dipermudahkan Allah," ujarnya.