Terengganu Rekod 53 Kes Perkahwinan Bawah Umur
KUALA TERENGGANU, 21 November - Sebanyak 53 kes perkahwinan bawah umur melibatkan remaja perempuan di Terengganu dari tahun 2022 hingga 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, daripada jumlah tersebut, 15 kes direkodkan di Kemaman.
"Daerah Besut pula merekodkan sebanyak 13 perkahwinan bawah umur diikuti Dungun (tujuh), Kuala Terengganu (lima), Setiu (lima), Hulu Terengganu (tiga), Marang (tiga) dan Kuala Nerus (dua).
"Antara sebab keperluan perkahwinan tersebut terdapat segelintir ibu bapa mahu membendung dan batas menjaga anak anak mereka daripada terus melakukan masalah sosial seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dadah dan sebagainya.
"Oleh itu, ibu bapa berpendapat bahawa perkahwinan ialah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan anak-anak mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri,Yusop Majid dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Tambahnya, kekurangan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif (SRH) juga antara punca utama berlakunya perkahwinan kanak-kanak.