Terengganu Sambung Semula Penerbangan Terus Dari Singapura



Terengganu mahu menyambung semula penerbangan terus dari Singapura, selepas perkhidmatan itu ditamatkan dua tahun lalu, selain mengadakan penerbangan terus dari Pulau Pinang sebagai usaha mencapai sasaran kedatangan  5.5 juta pelancong, sepanjang tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan  beberapa syarikat penerbangan tambang murah, termasuk AirAsia bagi merealisasikan hasrat itu.


"Kami menjangkakan akan menerima penerbangan pertama dalam tempoh terdekat.

“Penerbangan terus  dari Singapura ke negeri ini pernah diadakan, terpaksa dihentikan di atas  sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan selain penerbangan yang tidak mencukupi,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menyambut pelancong yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina  Zakaria dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.


Ahmad Razif berkata, terbaru kira-kira 3,000 pelancong Asean akan tiba di negeri ini bermula esok (2 Januari) dan menginap selama tiga hari dua malam.

Katanya, kedatangan mereka dengan menaiki 86 bas dari Kuala Lumpur itu adalah hasil daripada usaha promosi berterusan serta penganjuran  pelbagai program, termasuk Beautiful Terengganu di luar Terengganu sebelum ini.

“Kerajaan Terengganu melalui Sekretariat Beautiful Terengganu akan mengedarkan Kalendar Pelancongan 2017 bagi memudahkan syarikat pelancongan dan pengunjung luar
membuat rujukan.


“Hampir 50 program dan acara menarik bakal menggamit kehadiran pelancong, termasuk  Jom Qurban Di Tranung, di Teluk Ketapang, Krobek Fest (Dato Pata, Pantai Tok Jembal, Seberang Takir).,”katanya.

    

Tag: