Terengganu Sasar Capai 80 Peratus Vaksinasi Pada November

KUALA NERUS, 17 Jun - Kerajaan Terengganu meletakkan sasaran untuk mencapai 80 peratus vaksinasi bagi rakyat negeri itu dalam tempoh empat bulan, sehingga November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak berkata, setakat 14 Jun, sebanyak 12.77 peratus iaitu berjumlah 103,297 individu di negeri itu telah memperolehi vaksin dos kedua.

"Sasaran kita kini adalah untuk capai target 80 peratus vaksinasi dalam tempoh empat bulan. Saya jangkakan, pada awal November kita akan capai sasaran jika bekalan vaksin tidak tergendala.

"Kemampuan pemberian vaksinasi kita sekarang ialah seramai 205,800 individu sebulan, membolehkan 841,800 penduduk  menerima vaksin pada fasa kedua dan ketiga ialah dalam masa empat bulan," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, hari ini.

Jelasnya, usaha tersebut turut dibantu dengan peningkatan kadar kehadiran warga emas untuk menerima vaksin.

"Kadar warga emas yang hadir juga sudah semakin tinggi iaitu sekitar 70 peratus. Sebelum ini, pengangkutan dikatakan menjadi antara masalah utama, jadi seluruh pusat khidmat DUN di seluruh Terengganu kini menyediakan kenderaan untuk menjemput dan menghantar mereka dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Kita juga akan membuka PPV di masjid-masjid dengan Masjid Durian Burung menjadi projek peneraju (pilot project) pada 19 Jun ini dengan anggaran peserta seramai 250 orang," katanya.

 

 


Tag: