KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan negeri menetapkan sasaran masa depan Terengganu untuk memperoleh hasil janaan mencecah RM510 juta menjelang tahun 2030.

Menurut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ke arah merealisasikan kesemua sasaran itu kerajaan negeri menetapkan 25 inisiatif yang akan diberikan keutamaan tinggi atau High Priority Initiatives (HPI).

"Menerusi keberkesanan pelbagai strategi dilaksanakan Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri, hasil janaan negeri pada tahun 2023 berjumlah RM283.15 juta, lebih tinggi 41.1 peratus berbanding anggaran RM200.66 juta.

"Sehingga September tahun ini pula, sejumlah RM221.39 juta yang berjaya dikutip juga, adalah lebih tinggi 14.0 peratus berbanding kutipan tempoh sama tahun lalu iaitu RM194.13 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Selari dengan itu tambahnya, pelbagai mekanisme turut dipertimbangkan untuk memastikan kestabilan jangka panjang ini dapat dicapai tanpa membebankan sesiapa terutamanya rakyat kebanyakan dan golongan peniaga.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyasarkan perkembangan ekonomi antara 6.0 hingga 7.2 peratus setahun mencecah RM51.5 billion dengan jumlah pelaburan dan perdagangan terkumpul melebihi RM29 bilion dan RM172 bilion.






 


Tag: