Terengganu Sedia Dana Pendidikan Untuk Mahasiswa

Kerajaan negeri prihatin akan permasalahan kewangan pendidikan tinggi.
Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 29 Januari - Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan biasiswa dan pinjaman kepada mahasiswa anak negeri tersebut untuk menyambung pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan juga membuka kembali pinjaman yuran kepada pelajar yang telah mendapat tawaran daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekiranya memenuhi syarat-syarat pemohonan.

"Walaupun ada pelajar yang kurang cemerlang tetapi mendapat tawaran daripada universiti untuk menyambung pengajian, maka mereka berhak mendapat pinjaman.

“Bagi golongan asnaf pula, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut menyediakan sumber kewangan Bahagian Pendidikan dalam bentuk biasiswa yang boleh dipohon daripada masa ke masa.
Satiful Bahri giat wujudkan mekanisma membantu kewangan pendidikan tinggi.
"Manakala, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang tidak cukup pinjaman kerana kos yurannya yang tinggi, mereka boleh buat pemohonan pinjaman dengan Yayasan Terengganu," katanya ketika berucap pada Majlis Dialog Mahasiswa Mahasiswi Dungun Bersama Exco Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Dungun di Dewan Sivik Batu 48, semalam.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka memaklumkan, sebahagian hasil perolehan negeri akan dibahagikan untuk kepentingan pendidikan mahasiswa.

"Kita telah merancang bajet-bajet kewangan untuk pendidikan setelah selesai membentangkan Bajet 2019 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

“Sebahagian pendapatan kerajaan negeri akan digunakan untuk keselesaan mahasiswa belajar tanpa dibelenggu masalah kewangan dan sebagainya,” katanya.

Satiful Bahri turut berharap mahasiswa yang mendapat peluang tersebut menggunakan sumber pinjaman itu dengan perkara berfaedah dan seterusnya dapat menjadi pemimpin masa depan negara yang lebih baik.

Turut hadir, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Penyelidik Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani.


Tag: