Terengganu Semai Minda Keratif & Inovatif di Segenap Peringkat Umur
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Terengganu telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengintegrasikan pendidikan dalam menekankan kreativiti dan inovasi dalam kurikulum sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, antara usaha yang dibuat ialah menganjurkan aktiviti di sekolah-sekolah setiap daerah melalui kerjasama Yayasan Terengganu untuk mencungkil bakat dan menarik minat pelajar dalam bidang inovasi.
"Di semua peringkat, kerajaan negeri menyokong industri kreatif dan teknologi digital antaranya menerusi penubuhan zon ekonomi digital dengan menyediakan ruang bagi syarikat teknologi berkembang termasuk dalam bidang animasi, reka bentuk grafik digital.
"Begitu juga dalam mempromosikan budaya kreatif dalam komuniti masyarakat melibatkan pameran-pameran seni, bengkel kraf dan pentandingan inovasi serta pembangunan desa kreatif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) Wisma Darul Iman, semalam.
Menurut Satiful, usaha menyokong kawasan luar bandar menonjolkan keunikan tradisi dan kraf tempatan melalui inovasi terkini dapat meningkatkan tradisi dan kraf tradisional sekaligus menjana pendapatan penduduk desa.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) menganjurkan 'Media Engagement Strategy' yang melibatkan bidang teknologi maklumat dan media baru selain beberapa pelan kerjasama melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT).