KUALA TERENGGANU, 22 Januari – Kerajaan Terengganu kekal mengambil pendekatan terbuka dan menyatakan sokongan berterusan terhadap penganjuran program rekreasi permotoran yang semakin aktif dianjurkan di negeri ini, khususnya melibatkan minat dan hobi golongan belia serta peminat sukan permotoran dua roda dari seluruh negara.
Perkara itu dibincangkan dalam satu pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris yang menegaskan keperluan memperkasakan aspek pengurusan penganjuran supaya setiap program dapat dilaksanakan secara tersusun, selamat dan bertanggungjawab, ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong penganjuran aktiviti permotoran, namun ia perlu dirancang dengan rapi supaya tidak menimbulkan sebarang insiden yang tidak diingini,” jelas beliau.
“Penganjur dan peserta perlu saling menghormati serta mematuhi peraturan yang ditetapkan demi memastikan suasana yang harmoni dan selamat sepanjang program berlangsung,” katanya.
“Keupayaan dan bakat penganjur tempatan ini amat membanggakan. Ia perlu terus diperkasa melalui kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan supaya penganjuran pada masa hadapan lebih berkualiti dan memberi impak yang tinggi,” tambahnya.
Kerajaan Negeri Terengganu turut merakamkan penghargaan atas pandangan bernas, kerjasama erat serta sokongan berterusan Razali dalam menjayakan agenda pembangunan hobi dan minat anak muda melalui platform permotoran.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya peminat sukan permotoran dijemput untuk hadir memeriahkan pelbagai acara permotoran yang bakal dianjurkan sepanjang tahun 2026, dengan pengumuman program akan dibuat oleh pihak penganjur dari semasa ke semasa.